Saya mempunyai seorang kenalan yang seagama dan sebangsa dengan saya dan sudah pastilah basa ibunda kami juga sama, iaitu bahasa Melayu. Namun begitu, persamaan ini hanya pada asasnya sahaja. Hal ini demikian kerana, dia sering menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan sehariannya, terutamanya dengan rakan terdekat. Bahasa Inggeris yang digunakannya kadang-kala membuatkan rakan-rakan berasa tidak selesa dengannya. Tambahan pula, bahasa Inggerisnya boleh dikatakan tunggang-langgang. Jika diperhatikan perlakuannya ini, dia dilihat seperti terlalu bangga dengan kelebihannya yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga hampir melupakan bahasa ibundanya sendiri. Pada pendapat saya, walau di mana kita berada, bahasa ibunda kita haruslah dipelihara dan diutamakan kerana bahasa itulah yang melambangkan jati diri kita sebagai orang Melayu.
Tuesday, April 17, 2012
Monday, April 16, 2012
SITUASI 26- pak cik atau abang?
Pak cik atau abang? Aku sering keliru dalam hal ini. Kekeliruan ini timbul apabila seseorang lelaki itu berumur dalam lingkungan 30 hingga 40-an. Kadang- kadang terdapat juga lelaki yang berumur 40 ke atas dilihat seperti berumur 30-an. Situaisi ini sering timbul apabila aku berhadapan dengan pemandu bas UPSI. Sekiranya ingin memberitahu sesuatu kepadanya, aku keliru untuk menggunakan kata panggilan yang sesuai kepadanya. Sekiranya aku memanggilnya abang, aku mungkin dilabelkan sebagai seseorang yang 'gatal', namun jika aku memanggilnya pak cik, mungkin empunya diri berasa tidak selesa kerana aku telah menganggapnya sebagai seseorang yang tua walau hakikatnya dirinya masih dalam lingkungan umur yang muda. Jadi, sebagai langkah yang selamat, eloklah jika aku memanggilnya sebagai encik. Apa pendapat kawan-kawan?
![]() |
| abang dan pak cik |
Friday, April 6, 2012
SITUASI 25- bahasa satu malaysia
Seperti yang kita ketahui, masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, India, Cina dan lain-lain lagi. Sesebuah kaum pula mempunyai pelbagai jenis dialek percakapan, contohnya dalam masyarakat Melayu terdiri daripada dialek Kelantan, Kedah, Terengganu dan sebagainya.
Di sini saya tertarik dengan rakan-rakan saya yang berasal dari pelbagai negeri serta mempunyai dialek masing-masing, namun kebanyakan dari mereka berkebolehan untuk menggunakan dialek selain dialek sendiri, contohnya seseorang yang berasal dari Kedah berupaya bercakap menggunakan dialek Kelantan dan sebaliknya. Terdapat juga rakan saya yang berasal dari semenanjung telah berjaya menguasai bahasa percakapan orang Sarawak. Hal ini dapat saya perhatikan melalui perbualannya di laman muka buku. Bagi saya, perkara ini amat menarik.
Thursday, April 5, 2012
SITUAISI 24- pengaruh bahasa filem
Gejala sosial dalam kalangan masyarakat sering dikaitkan dengan pengaruh media elektronik seperti tayangan filem di malaysia. Namun begitu, pengaruh ini bukan sahaja memberi kesan kepada kelakuan masyarakat, malah turut mempengaruhi bahasa percakapan. Hal ini dapat dilihat pada pelbagai istilah atau ungkapan yang sering digunakan oleh masyarakat sekarang, terutamnya oleh golongan muda, contohnya:
lu pe hal- kau kenapa
nanti ini makan dia- kelakuan seseorang yang ingin memukul seseorang dengan sesuatu
...... abah kau- kelakuan seseorang yang ingin menafikan sesuatu
lek luh- sabar dulu
sakai- kata panggilan yang berunsur cacian
Wednesday, April 4, 2012
SITUASI 23- cikgu tandas
Hari ini aku telah selesai membuat pengajaran makro di sebuah sekolah menengah di sekitar Kuala Kubu Bharu. Sesi pengajaran itu bermula kira-kira jam 10.20 pagi hingga 11.00 pagi. Kira-kira 20 minit sesi pengajaran berlalu, terdapat seorang pelajar datang ke arahku dan berkata cikgu tandas. Aku tersenyum dan mengganggukkan kepala. Setelah pelajar itu keluar, aku tersenyum sendiri kerana teringatkan hal yang sama semasa aku belajar di sekolah dahulu.
Aku : Cikgu tandas.
Cikgu: Awak cakap saya tandas?
Aku : Eh, tak cikgu! maksud saya, saya nak ke tandas.
Cikgu: Pandai pun cakap betul-betul.
Tuesday, April 3, 2012
SITUASI 22- satu kata dua makna
Hari ini saya akan berbicara tentang perkataan-perkataan yang mempunyai lebih dari satu makna. Makna perkataan tersebut umumnya berbeza kerana faktor negeri atau dialek dan lain-lain lagi. Hal ini adalah seperti berikut:
1) pecat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pecat bermaksud memberhentikan seseorang dari sesuatu jawatan. Namun begitu, pecat di Kelantan pula bermaksud menanggalkan pakaian.
2) sunat
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan perkataan ini kepada dua makna iaitu hukum Islam yang menggalakkan sesuatu perbuatan dan khatan.
3) skema
Skema menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah rajah atau rancangan yang perlu diikuti. Namun begitu, pelajar sekolah menggunakan istilah ini bagi menggambarkan seseorang yang dilihat terlalu patuh akan peraturan dan akhirnya pelajar itu digelar sebagai budak skema.
Monday, April 2, 2012
SITUASI 21- definisi ungkapan melayu
1. BIDALAN
definisi : Bidalan ialah cakapan terus dan kiasan bercampur yang lebih kerap digunakan, mempunyai nilai ilmu serta pengajaran (Muhammad Said, 1992).
contoh : kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya
maksud : manusia haruslah menepati janji
2. PEPATAH-PETITIH
definisi : Peribahasa yang mngandungi nasihat dan ajaran orang tua-tua dahulu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
maksud : kata sepakat dapat dicapai melalui mesyuarat
3. KATA-KATA PUJANGGA
definisi : Kata-kata pujangga ialah kata-kata yang agung dan tinggi mutunya.
contoh : semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya, membalas dan bersikap adil ketika kuat (Khalifah Abdul Malik bin Marwan).
4. HADIS MELAYU
definisi : Hadis Melayu ialah peribahasa ataupun perumpamaan. Banyak daripadanya berasaskan pegangan agama, sebabnya setiap anjuran ke arah berbuat baik itu adalah asas ajaran Islam ( Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj, 2008).
Contoh : Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya (Hadis Riwayat Bukhari).
5. PERBILANGAN
definisi : Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi seperti peraturan atau undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh :
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakat
Ikut adat muafakat.
6. GURINDAM
definisi : Sejenis puisi melayu tradisional yang diperkenalkan oleh raja ali haji pada tahun 1846 yang berfungsi sebagai hiburan, pengajaran, nasihat dan penerapan nilai-nilai murni.
contoh : gurindam dambaan insani
Berikan aku sehembus cinta
biar kudinginkan jiwa meronta.
Hulurkan aku secubit kasih
menyebar belas takkan tersisih.
Tebarkan padaku sejambak simpati
harumlah nanti membujuk hati.
7. SELOKA
definisi : Sejenis puisi melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan, kegiatan sindiran, jenaka atau gurau senda yang digunakan untuk menyindir sambil mengajar (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005).
contoh : Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.
8. TAMSIL
definisi :Tamsil ialah persamaan sebagai umpama serta ajaran yang terkandung dalam sesebuah cerita (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : tua-tua keladi, makin tua menjadi
maksud : makin tua, makin banyak pengalaman
9.PERIBAHASA
definisi : Peribahasa mempunyai pengertian tertentu dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan sesutu maksud secara halus (Sulaiman Zakaria, 1998).
contoh : kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.
maksud: untuk memberi perangsang kepada orang lemah yang ingin melakukan pekerjaan yang berbahaya.
10. SIMPULAN BAHASA
definisi : Simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim (Abdullah Hussein, 1990).
contoh : ajak-ajak ayam
maksud: tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang
11. IBARAT
definisi : Umpama atau contoh yang baik yang terkandung dalam sesebuah cerita (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : ibarat gasing, berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau
maksud: lelaki yang sudah beristeri, biar bagaimanapun ia berjalan, namun ia tetap akan kembali ke rumahnya.
12. PERUMPAMAAN
definisi: Perumpamaan ialah sejenis gaya bahasa perbandingan atau peribahasa yang bersifat perbandingan dua perkara yang sebenarnya berlainan atau perbandingan satu hal dengan sesuatu yang lain tetapi sengaja dianggap sama (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005).
contoh : bagai murai tercabut ekor
maksud: seseorang yang becok mulutnya
Subscribe to:
Posts (Atom)






