Thursday, April 26, 2012

SITUASI 34- mati, meninggal dunia, mampus

Ketiga-tiga perkataan di atas membawa maksud benda hidup yang tidak bernyawa lagi. Namun begitu, tidak semua istilah itu dapat digunakan untuk manusia. Hal ini demikian kerana, perkataan mampus umumnya digunakan untuk binatang sahaja. Namun begitu, perkataan mati boleh juga digunakan untuk binatang dan tumbuhan. Istilah meninggal dunia pula sesuai untuk digunakan kepada manusia dan penggunaan istilah ini dilihat sopan berbanding perkataan mati.Perkataan mampus pula dilihat sebagai penggunaan yang tidak sopan atau dikenali sebagai bahasa kasar. Hal ini dapat dilihat pada contoh ayat berikut:


1. Mati
Kucing itu telah mati kerana dilanggar oleh sebuah kereta.

2. Meninggal dunia
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat mengalami gangguan pernafasan kerana tersedak susu.

3. Mampus
Ah, biarlah dia mampus dan membusuk di situ!



Wednesday, April 25, 2012

SITUASI 33- pending

Anda pasti pernah menggunakan perkataan ini. Umumnya, istilah ini dapat dilihat pada telefon bimbit apabila penerima mesej tidak dapat menerima mesej yang dihantar dan istilah ini akan muncul pada telefon bimbit penghantar mesej. Namun begitu, kebanyakan pengguna telefon sekarang tidak menggunakan perkataan ini untuk membawa maksud tersebut, malah bagi mereka, isitilah ini membawa maksud seseorang yang tidak memahami maksud terhadap maklumat yang teah diterima, terutamanya secara lisan. hal ini dapat dilihat berdasarkan situasi di bawah:

Saya  : Awak, lepas ni kita pergi ke tembat biasalah.
Rakan: Ok

Kami terus berjalan ke tempat yang dituju. Tiba-tiba, rakanku itu membelok ke kiri, sedangkan destinasi yang sebenar berada di sebelah kanan.

Saya  : Awak nk ke mana tu?
Rakan: Ke kafe la.
Saya  : Buat apa ke kafe?
Rakan: Makanla. awak cakap tadi nak ke tempat biasa. 
Saya :Awak lupa ke hari ni kita puasa. Jadi tempat biasa kita di perpustakaanla.
Rakan: Oh maaf, saya terlupa.
Saya  : Awak ni, selalu pending. Dahla yakin je. Lain kali tanya dulu.

Kami hanya tersenyum sesama sendiri dan terus ke perpustakaan.

Tuesday, April 24, 2012

SITUASI 32-banyak kata satu makna

Hari ini aku akan berbicara tentang 'banyak kata satu makna' yang bermaksud beberapa perkataan hanya membawa satu makna. Di sini aku akan memberikan beberapa contoh kata yang mempunyai ciri tersebut.

1. air wangi, air bau, perfume
Ketiga -tiga perkataan di atas membawa makna yang sama, iaitu sejenis cecair yang mempunyai bau yang harum. Cecair ini akan dipakai oleh seseorang sama ada secara semburan ataupun calitan.

2. almari, loker
Perkataan almari dan loker diatas dapat difahami sebagai peralatan yang digunakan untuk menyimpan barang-barang seperti pakaian, buku, barang perhiasan dan sebagainya. Namun begiti, loker lebih sinonim dengan penggunaannya di asrama ataupun kolej.

3. cerek, kendi
Kedua-dua perkataan di atas membawa maksud sejenis peralatan dapur yang digunakan untuk menjeram air. Peralatan ini diperbuat daripada besi ataupun logam yang digunakan untuk membuat periuk ataupun kuali.

Monday, April 23, 2012

SITUASI 31- ada telinga dengar ada mulut diam

Saya dan rakan sebilik sangat suka mendengar lagu seperti bayi yang comel di atas. Kadang-kadang saya berbual dengannya, namun dia tidak memberikan sebarang respon kerana ada telinga dengar dan ada mulut diam. Dia juga mengalami situasi yang sama seperti saya dan hal sebegini telah menjadi perkara biasa bagi kami. Kadang-kala situasi ini hanya membuat kami tersenyum sesama sendiri.

Friday, April 20, 2012

SITUASI 30- fenomena tangan ke bahu mata ke atas

Kawan-kawan pernah tak buat seperti gambar di atas? Saya pernah dan selalu berbuat sedemikian. Jika ditanya tujuannya, saya akan memberikan dua jawapan, iaitu sebagai tanda sindiran dan sekadar gurauan atau dengan kata lain, tidak memberikan apa-apa makna.
Namun begitu, saya masih tertanya-tanya bagaimanakah fenomena tangan ke bahu mata ke atas ini boleh wujud. Kawan-kawan tahu tak?


Thursday, April 19, 2012

SITUASI 29- tak kenal maka tak cinta

Inilah tajuk entri saya untuk hari ini. Tajuk ini dipilih kerana situasi ini mungkin dialami oleh sesiapa sahaja. Kebanyakan dari kita suka membuat kesimpulan awal walau tidak menegetahui sesuatu dengan lengkap, contohnya persepsi kita terhadap seseorang. Apabila kita melihat seseorang yang berwajah serius dan agak sukar untuk mengukir senyuman di bibir, insan itu pasti akan dikatakan sebagai seseorang yang sombong. Namun begitu, setelah kita mengenali dan berbual dengannya, tekaan awal kita tidak tepat sama sekali. Oleh itu, kita tidak harus menilai sesuatu hanya dengan melihat luaran tanpa mengenalinya. Ringkasnya, tak kenal maka tak cinta.

Wednesday, April 18, 2012

SITUASI 28- kesalahan ejaan

Kesalahan ejaan sering dilihat berlaku di mana-mana sahaja seperti pada papan tanda, notis, buku dan lain-lain lagi.
Situasi seperti gambar-gmbar di atas tidak harus dipandang remeh walaupun kesalahan tersebut mungkin berlaku akibat kecuaian atau secara tidak sengaja. Hal ini demikian kerana, sesetengah kesalahan ejaan akan menukar maksud mesej sebenar yang hendak disampaikan.Oleh itu, masalah ini harus dibendung oleh semua pihak yang bertanggungjawab.