Hari ini aku ingin berbicara tentang kucing. Untuk pengetahuan semua, aku sangat suka akan kucing. Setiap hari aku pasti akan mengambil sedikit masa untuk melihat gambar kucing sama ada di dalam telefon atau dengan melayari internet. Bagiku, kucing merupakan sejenis haiwan yang manja dan comel. Setiap kali aku melihat kucing, aku pasti merasa tenang dan akan tersenyum sendiri. Kadang-kadang aku akan bercakap dengan kucing. Terpulanglah apa-apa sahaja anggapan anda kepada aku. Aku suka bercakap dengan kucing apabila aku bosan ataupun marah akan seseorang. Boleh dikatakan kucing juga aku jadikan sebagai tempat aku mengadu. Aku akan berasa sangat senang hati apabila kucing itu seakan-akan memahami apa-apa yang aku katakan kepadanya. Di rumahku, terdapat seekor kucing betina yang suka bermain denganku. Jika aku berbicara dengannya, dia selalu memerhati aku sambil meminta lehernya digaru. Bagiku, telatahnya ini sangat comel dan mencuit hati. Sebab itulah, rumahku tidak pernah lengang dengan bunyi kucing dan kelincahannya. Telatah kucing ini amat menyenangkan hati.
AKU PENCINTA KUCING...
No comments:
Post a Comment