Monday, April 30, 2012

SITUAISI 36- perancangan bahasa


‘Perancangan bahasa’ merujuk kepada proses pembinaan dan pengembangan
sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bentuk undang-undangnya, perancangan bahasa Melayu diasaskan pada Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Umumnya, sesuatu bahasa yang dirancang akan melalui tiga peringkat yang utama. Tiga peringkat tersebut ialah:

Pertama
Peringkat ini membuat keputusan dasar tentang bahasa yang hendak dirancang, termasuk bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan bahasa lain, jika ada, diberi perkiraan juga. Peringkat ini melibatkan pengumpulan data dan penyusunan strategi bagi melancarkan kegiatan-kegiatan perancangan bahasa.

Kedua
Pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun. Dua istilah sering digunakan bagi usaha ini, iaitu pemupukan dan pengekodan. Proses pemupukan bermaksud menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan "saling terjemah" dengan beberapa bahasa moden lain. Pengekodan pula bermaksud usaha-usaha ke arah penyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan dan sebagainya.

Ketiga
Penilaian, iaitu peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan aktiviti perancangan yang bertujuan membantu perancangan selanjutnya di samping membaiki kelemahan-kelemahan yang sedia ada.
                                                                    (sumber:Tatabahasa Dewan)


No comments:

Post a Comment