Monday, April 2, 2012

SITUASI 21- definisi ungkapan melayu

1. BIDALAN
definisi   : Bidalan ialah cakapan terus dan kiasan bercampur yang lebih kerap digunakan, mempunyai nilai ilmu serta pengajaran (Muhammad Said, 1992).
contoh   : kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya
maksud  : manusia haruslah menepati janji

2. PEPATAH-PETITIH
definisi : Peribahasa yang mngandungi nasihat dan ajaran orang tua-tua dahulu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh  : bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
maksud : kata sepakat dapat dicapai melalui mesyuarat

3. KATA-KATA PUJANGGA
definisi  : Kata-kata pujangga ialah kata-kata yang agung dan tinggi mutunya.
contoh : semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya, membalas dan bersikap adil ketika kuat (Khalifah Abdul Malik bin Marwan).

4. HADIS MELAYU
definisi : Hadis Melayu ialah peribahasa ataupun perumpamaan. Banyak daripadanya  berasaskan pegangan agama, sebabnya setiap anjuran ke arah berbuat baik itu adalah asas ajaran Islam ( Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj, 2008).
Contoh  Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya (Hadis Riwayat Bukhari).

5. PERBILANGAN
definisi : Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi seperti peraturan atau undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh :
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakat
Ikut adat muafakat.

6. GURINDAM
definisi : Sejenis puisi melayu tradisional yang diperkenalkan oleh raja ali haji pada tahun 1846 yang berfungsi  sebagai hiburan, pengajaran, nasihat dan penerapan nilai-nilai murni.
contoh : gurindam dambaan insani


Berikan aku sehembus cinta


biar kudinginkan jiwa meronta.


Hulurkan aku secubit kasih


menyebar belas takkan tersisih.


Tebarkan padaku sejambak simpati


harumlah nanti membujuk hati.




7. SELOKA
definisi : Sejenis puisi melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan, kegiatan sindiran, jenaka atau gurau senda yang digunakan untuk menyindir sambil mengajar (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005).
contoh : Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk,


Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.


8. TAMSIL
definisi :Tamsil ialah persamaan sebagai umpama serta ajaran yang terkandung dalam sesebuah cerita (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : tua-tua keladi, makin tua menjadi
maksud : makin tua, makin banyak pengalaman

9.PERIBAHASA
definisi : Peribahasa mempunyai pengertian tertentu dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan sesutu maksud secara halus (Sulaiman Zakaria, 1998).
contoh : kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.
maksud: untuk memberi perangsang kepada orang lemah yang ingin melakukan pekerjaan yang berbahaya.

10. SIMPULAN BAHASA
definisi : Simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim (Abdullah Hussein, 1990).
contoh : ajak-ajak ayam
maksud: tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang



11. IBARAT
definisi : Umpama atau contoh yang baik yang terkandung dalam sesebuah cerita (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : ibarat gasing, berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau
maksud: lelaki yang sudah beristeri, biar bagaimanapun ia berjalan, namun ia tetap akan kembali ke rumahnya.

12. PERUMPAMAAN
definisi: Perumpamaan ialah sejenis gaya bahasa perbandingan atau peribahasa yang bersifat perbandingan dua perkara yang sebenarnya berlainan atau perbandingan satu hal dengan sesuatu yang lain tetapi sengaja dianggap sama (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005).
contoh : bagai murai tercabut ekor
maksud: seseorang yang becok mulutnya

No comments:

Post a Comment