Sunday, May 27, 2012

DAFTAR KATA DALAM KURSUS SOSIOLINGUISTIK BAHASA MELAYU



1. Sosiolinguistik
-Kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat.
2. Sosiologi
-Ilmu yang berkaitan dengan tindakan manusia dan masyarakat.
3. Linguistik
-Ilmu yang mengkaji tentang bahasa dan merangkumi semua aspek komunikasi manusia dari bunyi bahasa kepada seluruh kerencaman pemikiran manusia yang dinyatakan dalam bentul lisan dan tulisan.
4. Dialek
-Satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesebuah daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang berbeza dari aspek bahasa standard, loghat dan pelat.
5. Idiolek
-variasi bahasa seseorang individu.
6. Mikrososiolinguistik
-Kajian tentang hubungan antara struktur linguistik dan struktur sosial pada paras interaksi bersemuka. (F. Penalosa, 1981).
7. Makrososiolinguistik
-Makrososiolinguistik menumpukan perbahasan dan kerja pada populasi yang banyak, institusi kebangsaan dan dan dasar bahasa di peringkat kebangsaan (Dell Hymes 1980).
8. Setia bahasa
-Sikap penutur yang positif terhadap sesuatu bahasa serta yakin terhadap kemampuan bahasa berkenaan sebagai alat pemikiran dan alat komunikasi (Asmah Hj. Omar 2002).


9. Bahasa Inklusif
-Bahasa yang ditempatkan di atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada.
10. Bahasa Eksklusif
-Bahasa yang digunakan dalam kelompok tertentu sama ada dalam kelompok sepekerjaan, puak, subetnik dan lain-lain lagi. 
11. Bahasa Sindiran
-Perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan secara tepat, iaitu hanya disinggung secara kiasan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka disebutkan secara terang-terangan.
12. Bahasa Melampau
- Bahasa yang melebih-lebihkan dan membesar-besarkan sesuatu dari hal yang sebenar.
13. Bahasa Mengeluh
- Bahasa yang digunakan untuk menggambarkan perasaan kecewa dan sebagainya, tetapi tidak dilepaskan kesemua perasaan tersebut.


14. Bilingualisme
-Seseorang yang mengetahui dua bahasa dan menggunakan kedua-dua bahasa tersebut dalam kehidupan sehariannya.
15. Gangguan Bahasa
-Penyimpangan daripada kedua-dua norma bahasa yang berlaku kepada bilingualisme kerana kebiasaan menggunakan lebih daripada satu bahasa.

Friday, May 4, 2012

SITUASI 40- TANDA SEMPANG

Cuba anda perhatikan gambar di atas dan kenal pasti kesalahan ejaan yang terdapat padanya. Anda pasti menjumpainya kerana kesalahan itu terang lagi bersuluh. Kesalahan tersebut adalah dari aspek penggunaan tanda sempang. Tanda sempang tidak digunakan di antara perkataan ke dengan angka 14. Perkara ini dapat difahami dengan lebih jelas berdasarkan penyataan di bawah:

Penggunaan tanda sempang merupakan aspek tatabahasa yang sering mengelirukan seseorang.  Penggandaan kata majmuk turut melibatkan penggunaan tanda sempang.  Tanda sempang biasanya digunakan untuk menghubungkan awalan ke- dengan angka bagi membentuk angka bilangan ordinal dan juga untuk merangkaikan angka yang menunjukkan tahun dengan akhiran –an.  Tanda sempang turut digunakan untuk menghubungkan imbuhan dengan kata nama khas serta menghubungkan kata nama dengan ganti nama diri yang merujuk Tuhan.

Setelah berakhirnya penulisan entri ini, maka selesailah tugasan saya bagi kursus Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat pensyarah bagi kursus ini,iaitu Puan Husna Faredza serta rakan-rakan yang telah terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam membantu saya bagi menyiapkan tugasan ini.  



Thursday, May 3, 2012

SITUASI 39- BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Bagiku, budi bahasa budaya kita bermaksud sikap bersopan santun dalam perlakuan dan percakapan merupakan amalan yang amat bersinonim dengan masyarakat Melayu. Namun begitu, tidak semua masyarakat di Malaysia mengamalkan perkara yang tersirat di sebalik slogan ini. aku berkata sedemikian kerana baru-baru ini aku dan rakanku telah mengalami situasi yang amat tidak menyenangkan hati kami, iaitu seorang peniaga tidak mengamalkan sikap berbudi bahasa kepada pelanggannya.

Rakan         : Pak cik, berapa harga baju ini?
Peniaga      : Buat apa nak tanya, bukan kamu beli pun.

Aku dan rakan terdiam seketika.

Peniaga       : Datang sini, tanya harga berapa. Tengok-tengok barang, lepas tu cakap mahal. Tak beli pun.
Aku           : Pak cik, biasa la adab orang berniaga. Tak semua pelanggan suka dengan barang yang kita jual. Mungkin harganya tak berpatutan.
Rakan         : Betul tu pak cik. Lagipun, banyak lagi kedai di sekitar sini yang menjual barang yang sama seperti kedai pak cik. Mereka ada hak untuk buat pilihan. 
Peniaga lain  : Pak cik ni memang macam ini. Garang tak bertempat. Sebab tu pelanggan lari. Bukannya nak mesra pelanggan.
Aku               : Betul tu pak cik. Pak cik tak boleh la marah-marah selalu.
Aku dan rakan: Budi bahasa budaya kita.

Peniaga itu hanya tersenyum dan kami terus berlalu pergi dari kedai itu.


Wednesday, May 2, 2012

SITUAISI 38- PEMUJUKAN

Pemujukan ialah sejenis retorik yang menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Umumnya, bahasa ini sering digunakan dalam situasi jual beli, iaitu peniaga cuba untuk mempengaruhi pembeli supaya memberi barangan jualannya. Oleh sebab saya sering mengalami situasi ini, saya ingin berkongsi cerita dengan anda semua.

Pada suatu hari, aku dan rakan telah pergi ke swbuah pasar raya yang berdekatan dengan rumah kami untuk membeli barang keperluan memasak. selain itu, rakanku yang lain juga meminta kami untuk membeli syampu kepadanya. Setelah sampai di pasar raya tersebut, beginilah situasinya:



Aku dan rakan sedang mencari syampu yang dipesan itu. Tiba-tiba datang seorang wanita untuk mempromosikan sejenis syampu kepada kami. Umumnya, wanita ini dikenali sebagai promoter.

Promoter : Adik cari apa?
Aku   : Syampu...(belum sempat aku selesai menjawab, dia telah menyampuk).
Promoter : Oh, yang ini baik untuk rambut!
Aku        : Tapi saya cari syampu yang lain.
Promoter : Yang ini lagi baik dik. Harga pun berpatutan.
Aku        : Tak pelah kak. Yang kami cari harganya lagi murah.
Promoter : Kalau yang murah sangat kurang baik untuk rambut adik.

Aku dan rakanku sudah mula tidak selesa kerana kami seakan-akan dipaksa.

Aku      : Tak mengapa kak. Lagipun kawan kami yang pesan suruh kami beli yang itu.
Promoter: Tak pe dik. suruh kawan adik cuba yang ini pula. Akak pasti, lepas ni dia mesti tak nak dah yang itu.
Rakanku: Ish, akak ni! Kenapa nak paksa kami. Kami sebagai pengguna ada hak nak pilih barang yang kami nak.

Wanita itu, terkedu kerana terkejut dengan tengkingan rakanku itu. Pada pendapat anda, wajarkah rakan saya berbuat sedemikian. Bagi saya wajar kerana, wanita itu terlalu memaksa kami sahingga kami menjadi rimas.

Tuesday, May 1, 2012

SITUASI 26- meow...kucing yang comel

Hari ini aku ingin berbicara tentang kucing. Untuk pengetahuan semua, aku sangat suka akan kucing. Setiap hari aku pasti akan mengambil sedikit masa untuk melihat gambar kucing sama ada di dalam telefon atau dengan melayari internet. Bagiku, kucing merupakan sejenis haiwan yang manja dan comel. Setiap kali aku melihat kucing, aku pasti merasa tenang dan akan tersenyum sendiri. Kadang-kadang aku akan bercakap dengan kucing. Terpulanglah apa-apa sahaja anggapan anda kepada aku. Aku suka bercakap dengan kucing apabila aku bosan ataupun marah akan seseorang. Boleh dikatakan kucing juga aku jadikan sebagai tempat aku mengadu. Aku akan berasa sangat senang hati apabila kucing itu seakan-akan memahami apa-apa yang aku katakan kepadanya. Di rumahku, terdapat seekor kucing betina yang suka bermain denganku. Jika aku berbicara dengannya, dia selalu memerhati aku sambil meminta lehernya digaru. Bagiku, telatahnya ini sangat comel dan mencuit hati. Sebab itulah, rumahku tidak pernah lengang dengan bunyi kucing dan kelincahannya. Telatah kucing ini amat menyenangkan hati.
                                   
                               AKU PENCINTA KUCING...



Monday, April 30, 2012

SITUAISI 36- perancangan bahasa


‘Perancangan bahasa’ merujuk kepada proses pembinaan dan pengembangan
sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam bentuk undang-undangnya, perancangan bahasa Melayu diasaskan pada Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.

Umumnya, sesuatu bahasa yang dirancang akan melalui tiga peringkat yang utama. Tiga peringkat tersebut ialah:

Pertama
Peringkat ini membuat keputusan dasar tentang bahasa yang hendak dirancang, termasuk bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan bahasa lain, jika ada, diberi perkiraan juga. Peringkat ini melibatkan pengumpulan data dan penyusunan strategi bagi melancarkan kegiatan-kegiatan perancangan bahasa.

Kedua
Pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun. Dua istilah sering digunakan bagi usaha ini, iaitu pemupukan dan pengekodan. Proses pemupukan bermaksud menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan "saling terjemah" dengan beberapa bahasa moden lain. Pengekodan pula bermaksud usaha-usaha ke arah penyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan dan sebagainya.

Ketiga
Penilaian, iaitu peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan aktiviti perancangan yang bertujuan membantu perancangan selanjutnya di samping membaiki kelemahan-kelemahan yang sedia ada.
                                                                    (sumber:Tatabahasa Dewan)


Friday, April 27, 2012

SITUASI 35- personifikasi

Personifikasi ialah sejenis gaya bahasa yang sering dipelajari dalam bidang KOMSAS. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, persinifikasi ialah pemberian sifat-sifat manusia kepada benda tak bernyawa atau sesuatu yang abstrak sebagai manusia atau mepunyai sifat-sifat manusia, contohnya:


"Daun kelapa itu melambai-lambai kerana ditiup angin sepoi-sepoi bahasa"

Contoh personifikasi tersebut telah mengingatkan aku kepada rakanku semasa belajar di sekolah menengah dahulu.

Cikgu: Baiklah, murid-murid. Sebentar tadi cikgu telah menerangkan maksud personifikasi dan contohnya sekali. Sekarang, cikgu mahu salah seorang daripada kamu berikan cikgu satu contoh lain bagi menggambarkan maksud personifikasi.

Keadaan kelas sepi seketika. Tiba-tiba rakan disebelahku mengangkat tangan dan berdiri.

Rakan: Cikgu, saya ada satu contoh.
Cikgu: Baik, silakan.
Rakan: Meja yang berat itu merangkak dengan empat kakinya apabila ditolak oleh Ali.

Pada pendapat anda, apakah yang berlaku selepas itu?

Thursday, April 26, 2012

SITUASI 34- mati, meninggal dunia, mampus

Ketiga-tiga perkataan di atas membawa maksud benda hidup yang tidak bernyawa lagi. Namun begitu, tidak semua istilah itu dapat digunakan untuk manusia. Hal ini demikian kerana, perkataan mampus umumnya digunakan untuk binatang sahaja. Namun begitu, perkataan mati boleh juga digunakan untuk binatang dan tumbuhan. Istilah meninggal dunia pula sesuai untuk digunakan kepada manusia dan penggunaan istilah ini dilihat sopan berbanding perkataan mati.Perkataan mampus pula dilihat sebagai penggunaan yang tidak sopan atau dikenali sebagai bahasa kasar. Hal ini dapat dilihat pada contoh ayat berikut:


1. Mati
Kucing itu telah mati kerana dilanggar oleh sebuah kereta.

2. Meninggal dunia
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat mengalami gangguan pernafasan kerana tersedak susu.

3. Mampus
Ah, biarlah dia mampus dan membusuk di situ!



Wednesday, April 25, 2012

SITUASI 33- pending

Anda pasti pernah menggunakan perkataan ini. Umumnya, istilah ini dapat dilihat pada telefon bimbit apabila penerima mesej tidak dapat menerima mesej yang dihantar dan istilah ini akan muncul pada telefon bimbit penghantar mesej. Namun begitu, kebanyakan pengguna telefon sekarang tidak menggunakan perkataan ini untuk membawa maksud tersebut, malah bagi mereka, isitilah ini membawa maksud seseorang yang tidak memahami maksud terhadap maklumat yang teah diterima, terutamanya secara lisan. hal ini dapat dilihat berdasarkan situasi di bawah:

Saya  : Awak, lepas ni kita pergi ke tembat biasalah.
Rakan: Ok

Kami terus berjalan ke tempat yang dituju. Tiba-tiba, rakanku itu membelok ke kiri, sedangkan destinasi yang sebenar berada di sebelah kanan.

Saya  : Awak nk ke mana tu?
Rakan: Ke kafe la.
Saya  : Buat apa ke kafe?
Rakan: Makanla. awak cakap tadi nak ke tempat biasa. 
Saya :Awak lupa ke hari ni kita puasa. Jadi tempat biasa kita di perpustakaanla.
Rakan: Oh maaf, saya terlupa.
Saya  : Awak ni, selalu pending. Dahla yakin je. Lain kali tanya dulu.

Kami hanya tersenyum sesama sendiri dan terus ke perpustakaan.

Tuesday, April 24, 2012

SITUASI 32-banyak kata satu makna

Hari ini aku akan berbicara tentang 'banyak kata satu makna' yang bermaksud beberapa perkataan hanya membawa satu makna. Di sini aku akan memberikan beberapa contoh kata yang mempunyai ciri tersebut.

1. air wangi, air bau, perfume
Ketiga -tiga perkataan di atas membawa makna yang sama, iaitu sejenis cecair yang mempunyai bau yang harum. Cecair ini akan dipakai oleh seseorang sama ada secara semburan ataupun calitan.

2. almari, loker
Perkataan almari dan loker diatas dapat difahami sebagai peralatan yang digunakan untuk menyimpan barang-barang seperti pakaian, buku, barang perhiasan dan sebagainya. Namun begiti, loker lebih sinonim dengan penggunaannya di asrama ataupun kolej.

3. cerek, kendi
Kedua-dua perkataan di atas membawa maksud sejenis peralatan dapur yang digunakan untuk menjeram air. Peralatan ini diperbuat daripada besi ataupun logam yang digunakan untuk membuat periuk ataupun kuali.

Monday, April 23, 2012

SITUASI 31- ada telinga dengar ada mulut diam

Saya dan rakan sebilik sangat suka mendengar lagu seperti bayi yang comel di atas. Kadang-kadang saya berbual dengannya, namun dia tidak memberikan sebarang respon kerana ada telinga dengar dan ada mulut diam. Dia juga mengalami situasi yang sama seperti saya dan hal sebegini telah menjadi perkara biasa bagi kami. Kadang-kala situasi ini hanya membuat kami tersenyum sesama sendiri.

Friday, April 20, 2012

SITUASI 30- fenomena tangan ke bahu mata ke atas

Kawan-kawan pernah tak buat seperti gambar di atas? Saya pernah dan selalu berbuat sedemikian. Jika ditanya tujuannya, saya akan memberikan dua jawapan, iaitu sebagai tanda sindiran dan sekadar gurauan atau dengan kata lain, tidak memberikan apa-apa makna.
Namun begitu, saya masih tertanya-tanya bagaimanakah fenomena tangan ke bahu mata ke atas ini boleh wujud. Kawan-kawan tahu tak?


Thursday, April 19, 2012

SITUASI 29- tak kenal maka tak cinta

Inilah tajuk entri saya untuk hari ini. Tajuk ini dipilih kerana situasi ini mungkin dialami oleh sesiapa sahaja. Kebanyakan dari kita suka membuat kesimpulan awal walau tidak menegetahui sesuatu dengan lengkap, contohnya persepsi kita terhadap seseorang. Apabila kita melihat seseorang yang berwajah serius dan agak sukar untuk mengukir senyuman di bibir, insan itu pasti akan dikatakan sebagai seseorang yang sombong. Namun begitu, setelah kita mengenali dan berbual dengannya, tekaan awal kita tidak tepat sama sekali. Oleh itu, kita tidak harus menilai sesuatu hanya dengan melihat luaran tanpa mengenalinya. Ringkasnya, tak kenal maka tak cinta.

Wednesday, April 18, 2012

SITUASI 28- kesalahan ejaan

Kesalahan ejaan sering dilihat berlaku di mana-mana sahaja seperti pada papan tanda, notis, buku dan lain-lain lagi.
Situasi seperti gambar-gmbar di atas tidak harus dipandang remeh walaupun kesalahan tersebut mungkin berlaku akibat kecuaian atau secara tidak sengaja. Hal ini demikian kerana, sesetengah kesalahan ejaan akan menukar maksud mesej sebenar yang hendak disampaikan.Oleh itu, masalah ini harus dibendung oleh semua pihak yang bertanggungjawab.

Tuesday, April 17, 2012

SITUASI 27- cintailah bahasa ibunda kita

Saya mempunyai seorang kenalan yang seagama dan sebangsa dengan saya dan sudah pastilah basa ibunda kami juga sama, iaitu bahasa Melayu. Namun begitu, persamaan ini hanya pada asasnya sahaja. Hal ini demikian kerana, dia sering menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan sehariannya, terutamanya dengan rakan terdekat. Bahasa Inggeris yang digunakannya kadang-kala membuatkan rakan-rakan berasa tidak selesa dengannya. Tambahan pula, bahasa Inggerisnya boleh dikatakan tunggang-langgang. Jika diperhatikan perlakuannya ini, dia dilihat seperti terlalu bangga dengan kelebihannya yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga hampir melupakan bahasa ibundanya sendiri. Pada pendapat saya, walau di mana kita berada, bahasa ibunda kita haruslah dipelihara dan diutamakan kerana bahasa itulah yang melambangkan jati diri kita sebagai orang Melayu.


Monday, April 16, 2012

SITUASI 26- pak cik atau abang?

Pak cik atau abang? Aku sering keliru dalam hal ini. Kekeliruan ini timbul apabila seseorang lelaki itu berumur dalam lingkungan 30 hingga 40-an. Kadang- kadang terdapat juga lelaki yang berumur 40 ke atas dilihat seperti berumur 30-an. Situaisi ini sering timbul apabila aku berhadapan dengan pemandu bas UPSI. Sekiranya ingin memberitahu sesuatu kepadanya, aku keliru untuk menggunakan kata panggilan yang sesuai kepadanya. Sekiranya aku memanggilnya abang, aku mungkin dilabelkan sebagai seseorang yang 'gatal', namun jika aku memanggilnya pak cik, mungkin empunya diri berasa tidak selesa kerana aku telah menganggapnya sebagai seseorang yang tua walau hakikatnya dirinya masih dalam lingkungan umur yang muda. Jadi, sebagai langkah yang selamat, eloklah jika aku memanggilnya sebagai encik. Apa pendapat kawan-kawan?

abang dan pak cik

Friday, April 6, 2012

SITUASI 25- bahasa satu malaysia

Seperti yang kita ketahui, masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, India, Cina dan lain-lain lagi. Sesebuah kaum pula mempunyai pelbagai jenis dialek percakapan, contohnya dalam masyarakat Melayu terdiri daripada dialek Kelantan, Kedah, Terengganu dan sebagainya.
Di sini saya tertarik dengan rakan-rakan saya yang berasal dari pelbagai negeri serta mempunyai dialek masing-masing, namun kebanyakan dari mereka berkebolehan untuk menggunakan dialek selain dialek sendiri, contohnya seseorang yang berasal dari Kedah berupaya bercakap menggunakan dialek Kelantan dan sebaliknya. Terdapat juga rakan saya yang berasal dari semenanjung telah berjaya menguasai bahasa percakapan orang Sarawak. Hal ini dapat saya perhatikan melalui perbualannya di laman muka buku. Bagi saya, perkara ini amat menarik.


Thursday, April 5, 2012

SITUAISI 24- pengaruh bahasa filem

Gejala sosial dalam kalangan masyarakat sering dikaitkan dengan pengaruh media elektronik seperti tayangan filem di malaysia. Namun begitu, pengaruh ini bukan sahaja memberi kesan kepada kelakuan masyarakat, malah turut mempengaruhi bahasa percakapan. Hal ini dapat dilihat pada pelbagai istilah atau ungkapan yang sering digunakan oleh masyarakat sekarang, terutamnya oleh golongan muda, contohnya:

lu pe hal- kau kenapa
nanti ini makan dia- kelakuan seseorang yang ingin memukul seseorang dengan sesuatu
...... abah kau- kelakuan seseorang yang ingin menafikan sesuatu
lek luh- sabar dulu
sakai- kata panggilan yang berunsur cacian


Wednesday, April 4, 2012

SITUASI 23- cikgu tandas

Hari ini aku telah selesai membuat pengajaran makro di sebuah sekolah menengah di sekitar Kuala Kubu Bharu. Sesi pengajaran itu bermula kira-kira jam 10.20 pagi hingga 11.00 pagi. Kira-kira 20 minit sesi pengajaran berlalu, terdapat seorang pelajar datang ke arahku dan berkata cikgu tandas. Aku tersenyum dan mengganggukkan kepala. Setelah pelajar itu keluar, aku tersenyum sendiri kerana teringatkan hal yang sama semasa aku belajar di sekolah dahulu. 

Aku   : Cikgu tandas.
Cikgu: Awak cakap saya tandas?
Aku   : Eh, tak cikgu! maksud saya, saya nak ke tandas.
Cikgu: Pandai pun cakap betul-betul.

Berdasarkan situasi di atas, dapat aku simpulkan bahawa percakapan yang terlalu ringkas kadang-kadang akan menimbulkan kekeliruan kepada seseorang dan boleh membuatkan seseorang salah faham akan perkara yang ingin kita sampaikan.

Tuesday, April 3, 2012

SITUASI 22- satu kata dua makna

Hari ini saya akan berbicara tentang perkataan-perkataan yang mempunyai lebih dari satu makna. Makna perkataan tersebut umumnya berbeza kerana faktor negeri atau dialek dan lain-lain lagi. Hal ini adalah seperti berikut:

 1) pecat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pecat bermaksud memberhentikan seseorang dari sesuatu jawatan. Namun begitu, pecat di Kelantan pula bermaksud menanggalkan pakaian.


2) sunat
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan perkataan ini kepada dua makna iaitu hukum Islam yang menggalakkan sesuatu perbuatan dan khatan.

3) skema
Skema menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah rajah atau rancangan yang perlu diikuti. Namun begitu, pelajar sekolah menggunakan istilah ini bagi menggambarkan seseorang yang dilihat terlalu patuh akan peraturan dan akhirnya pelajar itu digelar sebagai budak skema.

Monday, April 2, 2012

SITUASI 21- definisi ungkapan melayu

1. BIDALAN
definisi   : Bidalan ialah cakapan terus dan kiasan bercampur yang lebih kerap digunakan, mempunyai nilai ilmu serta pengajaran (Muhammad Said, 1992).
contoh   : kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya
maksud  : manusia haruslah menepati janji

2. PEPATAH-PETITIH
definisi : Peribahasa yang mngandungi nasihat dan ajaran orang tua-tua dahulu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh  : bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat
maksud : kata sepakat dapat dicapai melalui mesyuarat

3. KATA-KATA PUJANGGA
definisi  : Kata-kata pujangga ialah kata-kata yang agung dan tinggi mutunya.
contoh : semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya, membalas dan bersikap adil ketika kuat (Khalifah Abdul Malik bin Marwan).

4. HADIS MELAYU
definisi : Hadis Melayu ialah peribahasa ataupun perumpamaan. Banyak daripadanya  berasaskan pegangan agama, sebabnya setiap anjuran ke arah berbuat baik itu adalah asas ajaran Islam ( Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj, 2008).
Contoh  Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya (Hadis Riwayat Bukhari).

5. PERBILANGAN
definisi : Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi seperti peraturan atau undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh :
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat adat, tak gaduhkan hukum
Kuat hukum, tak gaduhkan adat
Ikut hukum, muafakat
Ikut adat muafakat.

6. GURINDAM
definisi : Sejenis puisi melayu tradisional yang diperkenalkan oleh raja ali haji pada tahun 1846 yang berfungsi  sebagai hiburan, pengajaran, nasihat dan penerapan nilai-nilai murni.
contoh : gurindam dambaan insani


Berikan aku sehembus cinta


biar kudinginkan jiwa meronta.


Hulurkan aku secubit kasih


menyebar belas takkan tersisih.


Tebarkan padaku sejambak simpati


harumlah nanti membujuk hati.




7. SELOKA
definisi : Sejenis puisi melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan, kegiatan sindiran, jenaka atau gurau senda yang digunakan untuk menyindir sambil mengajar (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005).
contoh : Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk,


Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.


8. TAMSIL
definisi :Tamsil ialah persamaan sebagai umpama serta ajaran yang terkandung dalam sesebuah cerita (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : tua-tua keladi, makin tua menjadi
maksud : makin tua, makin banyak pengalaman

9.PERIBAHASA
definisi : Peribahasa mempunyai pengertian tertentu dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan sesutu maksud secara halus (Sulaiman Zakaria, 1998).
contoh : kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.
maksud: untuk memberi perangsang kepada orang lemah yang ingin melakukan pekerjaan yang berbahaya.

10. SIMPULAN BAHASA
definisi : Simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim (Abdullah Hussein, 1990).
contoh : ajak-ajak ayam
maksud: tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang



11. IBARAT
definisi : Umpama atau contoh yang baik yang terkandung dalam sesebuah cerita (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
contoh : ibarat gasing, berpaku tetap berpusing, tak berpaku merayau
maksud: lelaki yang sudah beristeri, biar bagaimanapun ia berjalan, namun ia tetap akan kembali ke rumahnya.

12. PERUMPAMAAN
definisi: Perumpamaan ialah sejenis gaya bahasa perbandingan atau peribahasa yang bersifat perbandingan dua perkara yang sebenarnya berlainan atau perbandingan satu hal dengan sesuatu yang lain tetapi sengaja dianggap sama (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005).
contoh : bagai murai tercabut ekor
maksud: seseorang yang becok mulutnya

Friday, March 30, 2012

SITUASI 20- kelas batal

Kelas batal ialah satu ungkapan yang sangat digemari oleh kebanyakkan pelajar. Begitu juga dengan saya, terutamanya kelas yang dibatalkan ialah kelas pada waktu pagi. Oleh itu, apabila pensyarah mengumumkan bahawa kelas batal, pelbagai reaksi pelajar yang dapat dilihat, contonya pada situasi di bawah:

Ketua kelas  : Kawan-kawan kelas minggu hadapan dibatalkan.
Rakan A       : Betul ke? Yea!
Rakan B       : Ala, batal ke? kenapa tu?
Ketua kelas  : Pensyarah ada mesuarat di pahang.

Berdasarkan situasi di atas, anda pasti membuat kesimpulan bahawa rakan B lebih baik berbanding rakan A. Namun begitu, anda sebenarnya silap kerana keluahan rakan B bukanlah menandakan bahawa dia bersedih atas pembatalan itu. Tetapi perkataan itu seakan-akan sindiran dan hakikatnya dia turut gembira kerana pembatalan itu.

Thursday, March 29, 2012

SITUASI 19-mimik muka


Komunikasi seseorang dengan seseorang bukan sahaja berlaku melalui percakapan. Malah tutur dilakukan melalui mimik muka. Gambar di atas menunjuk pelbagai mimik muka yang menggambarkan pelbagai jenis emosi seseorang seperti gembira, sedih, marah dan sebagainya. Namun begitu, wajah yang ceria tidak semestinya menggambarkan seseorang itu sedang bergembira dan sebaliknya. Hal ini dapat dilihat apabila seseorang sedang menangis kerana kegembiraan atas sesebuah kejayaan. Situasi yang sebaliknya pula dapat dilihat apabila seseorang dilihat tertawa atau tersenyum, namun senyuman itu dibuat-buat bagi menyembunyikan kesedihannya supaya tidak diketahui oleh orang lain.

Wednesday, March 28, 2012

SITUASI 18- bahasa kasar

Bahasa kasar ialah bahasa yang tidak mementingkan kesopanan dan dapat mengguris perasaan pendengarnya. Tambahan pula, bahasa ini sering dikaitkan dengan bahasa kesat yang juga dikenali sebagai mencarut. Mencarut menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud meneluarkan perkataan yang keji dan kotor. Bahasa kasar pula sering dikaitkan dengan masyarakat Melaka yang dikatakan sering menggunakan bahasa kasar, contohnya penggunaan kata lahabau, lahanat, hawau dan celaka. Bagi mereka, penggunaan kata-kata ini adalah sangat biasa. Hal ini dapat dilihat dalan ayat di bawah:

"Celaka, dah lama tak jumpa kau. Hawau kau. Ingatkan dah mampus, hidup lagi rupanya."

Sekiranya ayat ini duungkapkan kepada seseorang yang tidak saling mengenali, hal ini pasti akan mengguris hati seseorang.

Tuesday, March 27, 2012

SITUASI 17- tak rugi jika tak sombong

Sombong juga disebut sebagai angkuh, tinggi hati, bongkak dan lain-lain lagi. Sikap ini saya lihat ada pada ramai orang. Namun begitu, saya tidaklah bersikap demikian. Untuk pengetahuan rakan-rakan pembaca, entri ini ditulis kerana telah berlaku satu situasi yang melibatkan seseorang yang sangat sombong dengan orang sekeliling. Ceritanya bermula begini, iaitu terdapat seorang junior saya berada di dalam satu bas semasa perjalanan saya dan rakan-rakan ke Melaka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang lalu. Junior itu berada di hadapan saya dan rakan saya. Pada suatu petang, cuaca amat panas sehingga membuatkan rakan-rakan yang lain tidak selesa. Oleh itu, mereka menyuruh rakan disebelahku untuk menarik langsir supaya dapat menghalang cahaya matahari dari memancar tepat ke arah mereka. Situasi percakapannya pula begini:


Rakan B              : Awak boleh tak beritahu adik di depan tu menarik sedikit langsirnya.Silaulah.
Rakan di sebelah : Adik, boleh tak tarik sedikit langsir tu. (sambil mencuit bahu junior itu).


Kami menganggap junior itu sebagai seseorang yang sombong adalah kerana dia langsung tidak mengendahkan suruhan rakanku itu. Tidak mungkin dia tidak mendengarinya kerana jarak kami tidaklah terlalu jauh. Tambahan pula, situasi yang sama turut berlaku antara kami, iaitu dia tidak mengendahkan pertanyaan kami. Situasi ini berlaku ketika kami minum petang di dewan. Rakanku telah telah bertanya tentang air yang diminumnya. Namun begitu, dia tidak menjawab pertanyaan itu sehinggalah rakanku bertanya sekali lagi. Setelah mengalami kedua-dua situasi itu, kami terus menganggapnya sebagai seseorang yang sangat sombong.

Monday, March 26, 2012

SITUASI 16- kata penguat dalam dialek terengganu







Dialek ditakrifkan sebagai variasi bahasa yang berbeza-beza menurut pemakai, misalnya bahasa dari suatu daerah tertentu, kelompok sosial tertentu atau kurun waktu tertentu. 
Dialek Terengganu ialah dialek yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang tersebar di kawasan Terengganu. Ciri-ciri inilah yang membezakan dialek ini daripada dialek-dialek yang lain. Dialek Terengganu boleh dibahagikan kepada beberapa subdialek yang lain iaitu subdialek Ulu Telemong, Jerangau, Kuala Jengai, bandar Kuala Terengganu, Ulu Nerus dan Ulu Dungun. Di bawah ialah contoh kata penguat yang digunakan dalam dialek Terenggganu. 



Dialek Terengganu                                                       Bahasa Melayu
/ # tawɔ hebber # /                ertinya                      ‘sangat tawar’
/ # manih ləttiŋ # /                ertinya                       ‘sangat manis’
/ # puteh lləpuɁ # /                ertinya                       ‘sangat putih’
/ # busuɁ kkɔhɔŋ # /               ertinya                       ‘terlalu busuk’
/ # kuneŋ ssioɁ # /                 ertinya                       ‘kuning terang’


                          Dengarkan lagu dalam dialek Terengganu.