MASUK KANDANG KAMBING MNGEMBIK, MASUK KANDANG LEMBU MENGUAK
Peribahasa inilah yang diungkapkan oleh pensyarahku pada pagi tadi. Beliau menggunakan peribahasa ini bagi menegur kami yang terlalu pekat menggunakan dialek masing-masing apabila berada di dalam kelas. Tambahan pula, kebanyakan dari kami berkawan juga dalam kumpulan yang berasal dari negeri atau daerah yang sama. Oleh sebab itulah, dialek percakapan kami tidak pernah berkurang. Namun begitu, teguran itu membuatkan kami saling tertawa kerana pensyarah kami itu juga sering bertutur dalam dialeknya. Saya masih ingat satu ungkapan yang pernah diucapkan olehnya, tetapi saya tidak mahu mencatatkannya di sini. Hal ini demikian kerana, ungkapan ini pasti membuatkan anda terus dapat mengecam negeri kelahiran pensyarahku itu. Bagiku, peribahasa yang beliau berikan kepada kami memang betul dan dapat menegur kami secara berkias. Tetapi, saya juga ingin memberikan peribahasa ini kepadanya, iaitu "bagai ketam mengajar anaknya dengan betul." Makna bagi peribahasa ini tak perlulah saya ungkapkan kerana anda pasti tahu makna yang tersirat di sebaliknya.
No comments:
Post a Comment