Hari ini saya ada cerita yang mungkin mencuit hati para pembaca tetapi menyakitkan hati saya. Pagi tadi saya dan seorang rakan ke kelas di kampus lama. Kelas di bangunan E-learning. Jadi, kami meletakkan motor kami di kawasan letak motor di hadapan bangunan itu. Pada waktu itu, motor agak banyak dan jalan juga agak sibuk. Jadi, kami berdua mengambil sedikit masa untuk meletak motor. Pada mulanya kami mahu meletak motor di kawasan hadapan. Tetapi, apabila ada sebuah petak yang masih kosong di kawasan belakang, kawanku mengundurkan semula motornya untuk meletakkannya di situ. Namun begitu, belum sempat kawanku meletakkan motornya muncul seorang pelajar lelaki dan terus meletakkan motornya di petak tersebut dan terus tersenyum ke arah kami. Bagi kami senyumannya bukanlah sebagai tanda untuk bertegur sapa dengan baik, tetapi seperti ingin mengejek kami.
Oleh sebab kelakuannya itu, saya dan rakan agak marah dan mula mengomel "awak tak nampak ke kami di sini, macam berebut parking di shopping complex je."
Dia hanya diam membisu. Mungkin dia tidak mendengar apa-apa yang saya katakan. Kemudian, saya dan rakan bergerak ke kawasan hadapan. Kami berdua masih lagi mengomel.
Mungkin dia mendengar tentang apa-apa yang kami katakan lalu dia datang datang ke arah kami dan berkata "saya tak tahu yang awak mahu parking motor di situ."
Tambahnya lagi, "kenapa tak cakap elok-elok, janganla marah-marah.
"Maafla, sorry la" dia terus meminta maaf.
Saya dan kawanku hanya mendiamkan diri dan tersenyum sesama sendiri. Sebenarnya saya turut rasa bersalah dengan kelakuan kami. Rupa-rupanya kami salah faham dengan senyuman ikhlas yang diberikan oleh pelajar itu tadi. Kami mengandaikan senyuman itu adalah sebagai satu ejekan. Oleh sebab itulah, kami memarahinya. Jadi sebagai pengajarannya, kita tidak menilai sesuatu hanya dari luaran. Kesalahfahaman ini akan menimbulkan situasi yang memberi kesan buruk kepada kita.
senyumlah seikhlas hatimu...
senyumlah seikhlas hatimu...
No comments:
Post a Comment